Jumaat, 24 Februari 2012

MASA UNTUK PEJUANG ISLAM


Imam Junaid iaitu Imam yang pakar dalam bidang Tasawwuf pernah berkata :

" Peliharalah masa kamu sesungguhnya ia hilang begitu cepat dan tidak akan kembali. Dan lazimilah wirid-wirid kamu, kamu akan memperolehi manfaatnya di dunia dan akhirat. Dan janganlah kamu dilalaikan daripada Allah disebabkan dunia yang sedikit, sesungguhnya sedikitnya dunia itu melalaikan sesuatu yang banyak daripada akhirat. "

Rasulullah SAW juga pernah menyebut supaya kita merebut lima perkara sebelum datangnya lima perkara.

" Rebutlah lima perkara sebelum lima. Masa muda sebelum tiba masa tua, masa sihat sebelum tiba masa sakit, masa senang (kaya) sebelum tiba masa susah (miskin), masa lapang sebelum tiba masa sempit, masa hidup sebelum tibanya masa kematian. "

1) Pergunakan masa MUDAmu sebelum datang masa TUAmu

Masa muda hendaklah dipergunakan sebaik-baiknya untuk mencapai kebaikan, kesuksesan, keberhasilan, kerana masa mudalah kita mempunyai keinginan dan cita-cita yang ingin kita capai, bukan bermakna masa tua menghalangi kita untuk tetap berusaha mencapai keinginan kita, tapi tentulah usaha masa tua akan berbeza halnya dengan usaha saat kita masih muda. Maka dari masa muda hendaklah kita isi dengan berbagai kegiatan yang bermanfaat hingga kita tidak menyesal di kemudian hari.

2) Pergunakan masa SIHATmu sebelum datang masa SAKITmu

Sihat adalah anugerah atau nikmat yang diberikan kepada kita untuk terus melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita iaitu mengabdikan diri kepada Allah SWT dan mengamalkan apa yang diajar oleh junjungan besar Rasulullah SAW. Lihatlah di rumah-rumah sakit, hospital dan seumpamanya, berapa banyak orang terlantar disana, berapa banyak orang pekerjaannya terbantut disebabkan sakit yang dihadapi dan berapa banyak biaya dan kos yang harus dikeluarkan untuk mendapatkan kesembuhannya. Hal ini juga mengajar kita agar senantiasa berwaspada dengan segala kemungkinan yang sifatnya diluar pengetahuan manusia seperti sakit. Sakit disini bukan sebatas sakit jasmani, tetapi juga sakit rohani. Maka ketika kita sihat jasmani dan rohani, hendaklah kita senantiasa mempergunakannya untuk hal-hal yang bermanfaat tanpa mensia-siakan waktu dan masa yang ada pada kita. Ingatlah sihat adalah modal yang paling berharga kerana waktu sihatlah kita berpeluang untuk melaksanakan segala perintah Allah dan Rasul-Nya disamping mencari rezeki yang halal dan lain-lain dan juga ingatlah sakit itu adalah satu musibah dan ujian buat kita sebagai salah satu cara Allah menghapuskan dosa.

3) Pergunakan masa LAPANGmu sebelum datang masa SEMPITmu

Disini kita diajar untuk menghargai waktu, agar boleh di isi dengan perkara-perkara yang bermanfaat baik untuk diri sendiri mahupun untuk orang lain. Misalnya, kita mengetahui saudara kita sakit ketika ada kesempatan maka ziarahilah mereka sebelum kesempitan dan kesibukan menghampiri kita hingga tidak sempat lagi untuk sekadar menjenguk dan mengunjungi sahabat atau menyelesaikan pekerjaan yang tertunda sebelum datang pekerjaan yang lain agar tidak bertangguh terus justeru akan membuatkan kita semakin malas.

4) Pergunakan masa KAYAmu (senang) sebelum datang masa MISKINmu (susah)

Tidak terlalu jauh perbezaannya daripada penjelelasan di atas, ketika kekayaan ada pada kita, baik ia berupa harta, pangkat dan sebagainya, maka hendaklah kita memanfaatkannya sebaik-baiknya dan jangan mensia-siakan. Pergunakan kesenangan yang kita ada untuk Islam sama ada untuk kemaslahatan, sedekah jariyah, zakat dan sebagainya. Dan jadikan kekayaan kita sebagai faktor pendorong untuk kerja-kerja Islam sekaligus sebagai pelancar kita untuk beribadah kepada Allah SAW Tuhan sekalian alam.

5) Pergunakan HIDUPmu sebelum datang KEMATIANmu

Masa yang terakhir yang dijelaskan oleh Baginda SAW ini adalah cakupan dari empat masa di atas. Ketika kita diberi kehidupan, maka
kehidupan yang diberikan kepada kita itu sebenarnya merupakan kesempatan yang tiada dua. Kerana kesempatan hidup kita tidak akan datang untuk kali keduanya maka gunakanlah hidup kita ini untuk beramal jariyah, melaksanakan kerja-kerja Islam, mengeratkan ukhuwah sesama saudara seIslam, bahkan yang paling penting sekali gunakanlah kesempatan hidup ini untuk mengabdikan diri kepada Allah dengan sebenar-benarnya dan menuruti segala ajaran, panduan dan pedoman yang dibawa oleh pesuruh-Nya baginda Nabi Muhammad SAW.

Kesimpulannya marilah kita semua tanamkan dalam diri kita masing-masing untuk menegakkan daulah Islamiyyah seterusnya menegakkan Negara Islam sebagaimana kata-kata seorang ulama' iaitu Hasan Hudaibi :

اقيموا دولة في قلوبكم تقم على ارضكم

" Tegakkanlah negara Islam di dalam hati-hati kamu (para pejuang), nescaya ia (negara Islam) akan tegak di tempat kamu."

Para pejuang Islam yang mahu membentuk negara Islam di tempat mereka, mestilah menanam perkara tersebut dalam jiwa mereka terlebih dahulu dan melaksanakan Islam dalam diri mereka terdahulu. Maka apabila diri mereka melaksanakan segala bentuk suruhan Islam dan meninggalkan segala larangannya, nescaya masyarakat ditempat mereka yang melihat akan tertarik dengan perwatakan mereka seterusnya memilih untuk bersama mereka untuk menegakkan negara Islam di tempat mereka. Maka pergunakanlah masa yang kita ada sekarang untuk meninggikan kalimah Allah iaitu Islam seperti hadis Nabi SAW :

الاسلام يعلوا ولا يعلى عليه

" Islam itu tinggi dan tidak ada yang tinggi melainkan Islam. "
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...