Ahad, 18 Mac 2012

BASAHI LIDAH DENGAN ZIKRULLAH


Apakah yang dimaksudkan dengan ZIKIR ???

Zikir dari segi bahasa ialah melepaskan diri daripada lalai dan lupa  dengan menghadirkan hati atau sedar secara berterusan. Sifat lupa (Arab : Nisian) merupakan kata dasar insan (manusia). Oleh itu manusia merupakan makhluk yang lupa.

Zikir dari segi istilah pula ialah menyebut nama sesuatu dengan hati dan lisan, baik menyebut nama Allah atau sifatNya atau hukumNya atau  perbuatanNya atau menyebut nama para rasulNya, para nabiNya atau berbuat amal kebajikan seperti membaca Al-Quran, bertasbih, memberi nasihat dan sebagainya. Zikir juga membawa ucapan tasbih, tahmid, tahlil dan menyebut nama-nama Allah yang mulia.

Zikir dapat dilaksanakan dalam beberapa keadaan. Adakalanya dengan lisan, dengan hati, dengan anggota dan juga dengan ucapan yang jelas. Dengan kesemuanya ini, seseorang dapat melaksanakan zikir itu dengan sempurna.

 Dalam pengertian tasawuf zikir memaparkan pelbagai pengertian :

1.  Sebutan atau lafaz seperti tahmid (alhamdulillah), tahlil (lailahaillah), takbir (Allahuakbar), tamjid (kata-kata pujian kepada Allah),  istighfar, basmallah iaitu apa jua bentuk sebutan yang mengaitkan manusia dengan Pencipta-nya (Khaliq).
2.  Menyebut dengan lisan dan hati akan sifat-sifat daripada Sifat Allah  seperti  Ar-Rahman (99 kesemuanya).
3.  Melaksanakan hukum daripada hukum Allah. 
4.  Memberi penghormatan kepada para Rasul dan Aulia’ dalam bentuk selawat dan salam.
5.  Membacaal- Quran kerana isi keseluruhannya adalah zikir.
6.  Puisi seperti syair yang ada hubungan dengan Allah seperti syair Jalalluddin Rumi, Mutannabi sebagainya.
7.  Syarahan atau ceramah yang ada kaitan dengan memuji  Allah.
8.  Ibadah yang mengEsakan Allah seperti  solat, zakat, puasa, haji dan sebagainya.

Firman Allah Taala yang bermaksud :
“ Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.”
(az-Zariyat : 55)

Hadis Berkenaan dengan Zikir

Hadis 1 :

Dalam sebuah hadis menyebut Saidina Muaz RA berkata bahawa perbincangan yang terakhir sekali yang berlaku di antara Baginda SAW dengannya ialah seperti berikut :

"Semasa aku berpisah dengan Rasulullah SAW dan aku bertanya amalan manakah yang amat dicintai oleh Allah?"

Sebagai menjawab, baginda SAW bersabda :

"Basahilah lidahmu dengan zikrullah ketika kamu tinggalkan dunia."

Di dalam sebuah Hadis di riwayatkan bahawa Baginda SAW bersabda :

"Barangsiapa yang didapati padanya empat perkara, nescaya ia akan memperolehi segala kebaikan di dunia dan di akhirat. Pertama, lidah yang sentiasa dibasahi dengan zikrullah. Kedua, hati yang sentiasa sibuk dengan bersyukur. Ketiga, anggota-anggota tubuh yang sentiasa menahan segala penderitaan. Keempat, isteri yang tidak mengkhianati maruahnya dan harta benda suaminya."

Lidah yang basah maksudnya telah pun diterangkan oleh para ulama sebagai memperbanyakkan zikir.

Hadis 2 :

Abu Musa RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

"Perbandingan orang yang berzikir adalah seperti orang yang hidup dengan orang yang mati . Orang yang tidak berzikir itu adalah seperti orang yang mati."

Keterangan :

Setiap manusia mencintai kehidupannya dan setiap orang pula takut mati . Baginda Rasulullah SAW bersabda :

"Barangsiapa tidak mengingati Allah SWT sungguh pun ia mati, namun keadaannya tidak berbeza dengan keadaan orang yang mati, kehidupannya adalah sia-sia belaka."

Seorang pujangga berbangsa Farsi berkata :

"Kehidupanku itu bukanlah kehidupan pada hakikatnya tetapi kehidupan yang sebenarnya ialah orang yang dapat mencintai kekasihnya."

Sebahagian ulama lain pula mengatakan bahawa perbandingan ini adalah tertuju kepada laba dan ruginya yakni barangsiapa yang menyakiti orang yang berzikir itu adalah seperti orang yang menyakiti orang yang hidup,maka ia pasti akan dibalas dan dia akan menerima akibat perbuatannya itu . Dan barangsiapa yang menyakiti orang yang sudah mati yakni orang yang sudah mati itu tidak boleh bertnidak terhadap orang yang menyakitinya itu .

Para ulama tasawuf mengatakan bahawa yang dimaksudkan daripada kehidupan di sini ialah kehidupan yang kekal abadi yakni orang yang berzikir sebanyak-banyaknya dengan serba ikhlas semata-mata dengan tujuan untuk mendapatkan keredhaan Allah ,tidak akan mati. Bahkan setelah ia pindah dari dunia ini, ia dikira sebagai orang yang hidup jua. Seperti yang ditegaskan di dalam al-Quran akan keadaan orang yang mati syahid:

"Bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya." (Ali Imran 169)

Demikian itu adalah penghidupan yang terkhusus bagi mereka yang berzikir sebanyak-banyaknya.

At-Tirmizi RA pernah berkata:

" Bahawa zikrullah itu melemah-lembutkan hati. Maka apabila hati itu lalai dari mengingati Allah , maka dengan kepanasan nafsu dan api syahwat hatinya itu menjadi keras membatu dan sejurus itu anggota-anggota lainya turut menjadi keras, terhenti dari mentaati dan mematuhi (perintah-perintah Allah). Jika anggota-anggota itu ditarik(untuk diperbaiki) maka pasti akan terpatah seperti kayu yang kering tidak akan bengkok jika dibengkokkannya, hanya diguna untuk membakar sahaja."

Hadis 3 :

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم

 كلمتان خفيفتان على اللسان ثقيلتنان في الميزان حبيبتان إلى الرحمن سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Dari Abu Hurairah RA katanya :Nabi SAW bersabda : “ Dua kalimah yang amat dikasihi Allah Yang Maha Pemurah, ringan disebut lidah dan berat timbangannya (pahalanya) iaitu Maha Suci Allah dan dengan kemuliaan-Nya, Maha Suci Allah Yang Maha Besar.

Keterangan: 

Zikir dalam ertikata sebenarnya adalah suatu cara untuk menyebut, mengingat dan mendekatkan diri kepada Allah. Maka segala aktiviti yang tujuannya menyebut, mengingat dan mendekatkan diri kepada Allah dinamakan zikir, seperti solat juga dinamakan zikir.

Firman Allah Taala yang bermaksud :
“ Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada tuhan selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku”
 ( Tahaa: 14 )

 Namun begitu pengertian zikir yang lebih spesifik adalah menyebut nama Allah dengan lisan dan hati. Berzikir dengan lisan dan hati adalah perintah Allah yang mempunyai manfaat yang sangat besar di dunia mahupun di akhirat kelak.

Firman Allah yang bermaksud :
“Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah dengan zikir yang sebanyak-banyaknya.”
 ( Al Ahzab:41)

 Berzikir adalah suatu cara untuk mendekatkan diri hamba kepada Tuhannya. Apabila seorang hamba sudah dekat dengan tuhannya maka segala hajat yang diminta dan diinginkannya pasti termakbul sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadith baginda yang bermaksud: Dan Aku bersamanya bila ia berzikir.
( Hadis Riwayat Muslim )


















Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...