Selasa, 15 Mei 2012

KEKUATAN PEMUDA MUSLIM




Alhamdulillah, itulah panduan kita sebagai pemuda muslim, membina dan memiliki kekuatan agar menjadi lebih baik dan lebih dicintai Allah SWT. Apa yang perlu diperkuatkan oleh kita? Kata Syeikh Yusof Qardhawi sekurang-kurang ada 3 perkara yang perlu kita perkuatkan.

Iman Yang Mendalam

Pertama, Iman. Iman merupakan sinergi antara tasdiqun bil qalbi, iqrarun bil lisan dan ‘amalun bil arqan. Inilah iman yang benar, sebagaimana yang digambarkan Allah SWT laksana pohon yang akarnya menghunjam jauh ke dalam tanah, rantingnya menjulang tinggi ke udara dan setiap saat memberikan buahnya yang lazat untuk manusia dan makhluk sekelilingnya.
Menurut Syed Qutb, orang yang memiliki iman yang kuat hanyalah orang-orang yang tidak menjadi hamba-sahaya dari siapapun selain Allah, dan tidak mengikuti siapapun kecuali RasulNya. Generasi beriman ini hanyalah orang yang dengan setulus hati percaya bahawa ajaran Allah dan RasulNya adalah kebenaran yang mutlak, dan apa pun yang bertentangan dengannya adalah sesat, dan apa pun yang baik bagi manusia dalam hidup di dunia ini mahupun di akhirat nanti seluruhnya telah terkandung dalam ajaran-ajaran Allah dan UtusanNya. Seseorang yang beriman sepenuhnya kepada kebenaran-kebenaran ini adalah orang yang selalu mencari petunjuk dari ajaran Allah dan RasulNya dalam setiap langkah-hidupnya dan yang menyangkut masalah yang dihadapinya, dan setelah mengetahui ajaran tersebut, lalu mengikutinya. Inilah yang dikatakan jiwa yang kuat imannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan ayat-ayat yang menjelaskan. Dan Allah memimpin siapa yang dikehendakiNya kepada jalan yang lurus. Dan mereka berkata:’Kami telah beriman kepada Allah dan Rasul, dan kami menta’ati (keduanya)’ Kemudian sebahagian dari mereka berpaling sesudah itu, sekali-kali mereka itu bukanlah orang-orang yang beriman. Dan apabila mereka dipanggil kepada Allah dan RasulNya, agar Rasul menghukum (mengadili) di antara mereka, tiba-tiba sebahagian di antara mereka menolak untuk datang. Tetapi jika keputusan itu untuk (kemaslahatan) mereka, mereka datang kepada Rasul dengan patuh. Apakah (ketidakdatangan mereka itu kerana) dalam hati mereka ada penyakit, atau(kerana) mereka ragu-ragu, ataukah (kerana) takut kalau-kalau Allah dan RasulNya berlaku zalim kepada mereka? Sebenarnya mereka itulah orang-orang yang zalim. Sesungguhnya jawapan orang-orang Mukmin bila mereka di-panggil kepada Allah dan RasulNya agar Rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan: “Kami mendengar, dan kami patuh” dan mereka itulah orang-orang yang beruntung. Dan barangsiapa yang ta’at kepada Allah dan RasulNya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan”. (an-Nur: 46-52)



Akhlak Yang Ampuh

Keduanya kekuatan akhlak. Akhlak merupakan buah kepada keimanan. Orang yang imannya kuat dan berada dalam keadaan baik akan menghasilkan akhlak dan peribadi yang menyenangkan orang lain. Mereka yang memiliki kekuatan iman akan terlebih dahulu memperlengkapkan dirinya dengan akhlak yang yang mulia. Rasulullah SAW sendiri sebagai model terbaik kita menjadi teladan ditengah-tengah para sahabat.
Firman Allah Taala :
“Dan sesungguhnya engkau (Muhammad) benar-benar berbudi pekerti yang agung.” (al-Qalam: 4)
Rasulullah mempunyai keistimewaan di kalangan kaumnya, dengan akhlak-akhlak terpuji, pekerti-pekerti mulia dan sifat-sifat terpuji. Abu Bakar menyusul pula sebagai penerus perjuangan risalah Rasulullah SAW, beliau merupakan tokoh yang disenangi dan mudah berkomunikasi dengan orang ramai lagi berakhlak mulia. Dan semua kepimpinan Islam dan para ulama terdahulu memiliki kekuatan akhlak yang luarbiasa. Kini giliran kita mempersiapkan diri dengan kekuatan akhlak agar umat ini mampu memimpin kembali tamadun manusia.
Memperindahkan akhlak memberi kesan besar kepada masa depan kita di dunia dan di akhirat. Bahkan ianya memberi pulangan lumayan kepada empunya diri. Pertama, akhlak yang baik akan meningkatkan darjat.

Dari Anas, Nabi SAW bersabda:
“Sesungguhnya seorang hamba mencapai darjat yang tinggi di hari akhirat dan kedudukan yang mulia kerana akhlaknya baik walaupun ia lemah dalam ibadah.”(HR. Thabrani)
Kedua, akhlak yang baik adalah ukuran keimanan.

Rasulullah SAW bersabda:
“Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya; yang lemah lembut tidak pernah menyakiti orang. Seorang manusia tidak akan mencapai hakikat iman sebelum dia mencintai orang lain seperti ia mencintai dirinya sendiri dan sebelum tetangganya aman dari gangguannya.”



Kekuatan Ilmu Agama

Kekuatan ketiga menurut Syeikh Yusof Qhardhawi ialah kekuatan ilmu pengetahuan agama. Maka kita harus kaya dengan ilmu pengetahuan agama. Pemuda Islam yang miskin dengan ilmu pengetahuan agama dan tidak memahami misi dan visi Al Quran dan perjuangan Rasulullah SAW akan dipandang remeh dengan sebelah mata oleh musuh-musuh Islam, bahkan dia tidak akan mampu mempersembahkan Islam dalam bentuk yang syumul, lengkap dan tepat. Kefahaman dirinya terhadap Islam juga akan pincang dan lemah.
Menurut Syeikh Yusuf Qardawi, ilmu-ilmu agama merupakan alat bagi kita untuk menyelesaikan banyak perkara. Kebanyakan pemuda Islam hari ini semakin longgar ikatan mereka dengan Islam, ada yang tidak sembahyang, tidak berpuasa, tidak tahu membaca al-Fatihah, tidak menutup aurat, minum arak, berzina, dan sebagainya yang tidak dibenarkan oleh Allah SWT, akibat tidak memperdalami ataupun duduk dalam majlis-majlis ilmu agama. Maka merekalah sasaran kita, bagaimana mungkin kita mampu untuk memperkata sesuatu mengenai agama bagi menasihatkan mereka jika kita sendiri tidak menguasai ilmu-ilmu agama. Malah yang bukan Islam juga semakin menunjukkan minat untuk tahu, apakah sebenarnya Islam, adakah ia satu agama yang menyuruh penganutnya supaya bertindak ganas, ataupun agama yang mendidik mereka ke jalan kebenaran dan memberikan ketenangan yang hakiki kepada mereka. InsyaAllah dengan usaha tekad dan serius kita untuk mempertingkatkan ilmu agama kita, ianya akan memberikan kebaikan kepada kita.

Allah SWT berfirman:
“Allah akan mengangkat orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang berilmu beberapa darjat.” (QS. Al-Mujadilah: 11)
Dan sebaliknya orang yang jahil akan ilmu agama-Nya disebutkan oleh Allah sebagai seorang yang buta yang tidak dapat melihat kebenaran dan kebaikan.

 Allah SWT berfirman:
“Apakah orang yang mengetahui bahwasanya apa yang diturunkan kepadamu dari Rabbmu adalah al-haq (kebenaran) sama dengan orang yang buta? (tidak mengetahui al-haq).” (Ar-Ra’d: 19)
“Katakanlah (ya Muhammad) apakah sama orang-orang yang mengetahui (berilmu) dengan orang yang tidak mengetahui (jahil)?.” (Az-Zumar: 9)
Semoga kita berusaha menguatkan kefahaman kita dengan ilmu agama, samada ilmu fardhu ain, kifayah, al Quran, Hadis, tauhid, serah dan sebagainya.

 Rasulullah SAW bersabda,
“Barangsiapa yang Allah kehendaki kebaikan baginya, Allah akan memahamkan ilmu agama kepadanya.” (HR. Bukhari dan Muslim).

30 PESANAN IMAM SYAFIE RAHIMAHULLAH




  1. Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjaga dan membuat kamu cemerlang di dunia dan akhirat.
  2. Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk. Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut dunia.
  3. Pilihlah makanan yang halal kerana ia menjamin kesihatan dan menyebabkan syaitan gerun.
  4. Sabar menghadapi musibah adalah sebesar-besar erti sabar di mana sabar itu sendiri memerlukan kesabaran pula. Bala dan musibah menunjukkan adanya perhatian dan kasih sayang Allah. Oleh itu, bersyukurlah kerana syukur yang sedemikian setinggi-tinggi erti syukut.
  5. Apabila salah seorang antara kaum kerabat ataupun jiran dan saudara kamu sakit, kamu perlu ringankan langkah menziarahinya kerana ia disaksikan oleh malaikat dan dan dicintai Allah.
  6. Marah adalah salah satu antara panah-panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu, hindarilah ia supaya dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya.
  7. Kasihanilah anak yatim kerana Rasulullah juga tergolong sebagai anak yatim dan beliau akan bersama-sama dengan orang yang menyayangi dan mengasihi anak-anak yatim di akhirat.
  8. Berbuat baik dan tunjukkan bakti kepada ibu bapa tanpa mengenali letihh dan lelah sebagaimana mereka berbuat begitu sepanjang hayat mereka. Ia dapat menambah keberkatan pada umur, menambah rezeki dan keampunan atas dosa-dosa kamu.
  9. Banyakkanlah amal soleh kerana ia adalah pendinding dan perisai orang mukmin dan pelindung kepada serangan iblis.
  10. Takwa adalah pakaian kebesaran dan hiasan akhlak Muslim sebenar. Ia ibarat pokok zaitun, minyaknya membawa berka, ia juga memberi kejayaan dan kemenangan.
  11. Iman mempunyai bentengnya bagi menghalang segala serangan yang cuba merobohkannya. Oleh itu bagi menguatkan benteng iman, keimanan perlu dibajai dengan lima perkara, yakin, ikhlas, mengerjakan amalan sunat, istiqamah, bertatasusila ataupu berdisiplin dalam mengerjakan ibadah.
  12. Ingat dan zikir kepada Allah sebanyak-banyaknya kerana ia mengubati penyakit jasmani dan hati. Ia mencetuskan ketenangan hidup dan qanaah.
  13. Khusyuk secara zahir adalah khusyuknya orang awam, khusyuk secara batin adalah khusyuknya orang pilihan di sisi Allah.
  14. Kubur adalah perhentian sementara bagi membolehkan ke satu perhentian lagi yang penuh dengan soal siasat. Oleh itu, siapkanlah jawapan yang adil dan benar menerusi amal yang benar dan taat kepada al-haq yang tidak berbelah bagi.
  15. Kita perlu sentiasa memohon perlindungan daripada Allah, sekurang-kurangnya dengan mengucapkan "A'uzubillahi minassaitathanirrajim". Kita perlu bersabar sekiranya serangan syaitan datang juga bertalu-talu dengan hebat dan menyedari Allah taala hendak menguji keteguhan sabar kita, hendak melihat ketulenan jihad kita. Ketahuilah perang dengan syaitan itu lebih hebat daripada perang sabil.
  16. Sebesar-besar keaiban (keburukan) adalah kamu mengira keburukan orang lain sedangkan keburukan itu terdapat dalam dirimu sendiri.
  17. Hati adalah raja dalam diri. Oleh itu,lurus dan betulkan ia supaya empayar kerajaan dirimu tegak di atas al-haq yang tidak disertai oleh iringan-iringan pasukan kebatilan.
  18. Ketahuilah istighfar yang diucapkan dengan betul mampu membuat syaitan lari ketakutan dan menggoncang empayar iblis di istana kerajaannya.
  19. Ketahuilah sebesar-besar kesenangan di duna dan akhirat adalah memberi maaf kepada orang lain dan melupakan terus kesalahannya. Allah pasti akan meninggikan darjatnya di sisi manusia.
  20. Tafakurlah sebelum tidur bagi menghisab diri atas salah dan silap semasa aktiviti pada siang hari sebagaimana Umar bin al-Khattab menyiasati dirinya dengan pelbagai soalan berkenaan dosa-dosanya pada siang hari.
  21. Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan di akhirat. Ia juga amalan para nabi, rasul dan orang soleh.
  22. Sesiapa yang mahu meninggalkan dunia dengan selamat, dia perlu mengamalkan perkara berikut iaitu mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan bercakap dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.
  23. Kamu seorang manusia yang dijadikan daripada tanah dan kamu juga akan disakiti (dihimpit) dengan tanah.
  24. Sesiapa yang menjalin ukhuwah dan menghidupkannya, dia memperoleh banyak kebaikan.
  25. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka akan ditinggikan darjat dan diberi kemuliaan selagi mereka menunaikan perintah Allah.
  26. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka pasti mendapat pertolongan Allah seperti dalam pernyataannya dalam surah ar-Rom ayat 47 yang bermaksud; dan adalah menjadi hak(tanggungjawab) kami untuk menolong orang yang beriman.
  27. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka pasti mendapat pembelaan kepada Allah sebagaimana pernyataannya dalam surah al-Hajj ayat 38 yang bermaksud, Allah membela orang yang beriman.
  28. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman dan bertakwa, Allah pasti menaikkan darjat mereka hingga ke taraf wali-wali Allah selagi memenuhi syarat-syaratnya seperti dalam pernyataannya dalam surah al-Baqarah ayat 257 yang bermaksud, Allah penolong (wali) bagi orang yang beriman.
  29. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman akan memberi petunjuk dan jalan lurus sebagaimana pernyataan Allah dalam surah al-Hajj ayat 54 yang bermaksud " Allah akan memberi petunjuk bagi orang yang beriman kepada jalan yang lurus."
  30. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka akan memperoleh rezeki yang baik dan pelbagai keberkatan selagi mereka menunaikan perintah Allah sebagaimana pernyataannya dalam surah al-A'raf ayat 96 yang bermaksud, sekiranya penduduk kota beriman dan bertakwa pasti kami akan melimpahkan mereka berkat dari langit dan bumi tetapi sekiranya mereka mendustakan ayat-ayat kami, kami akan seksa mereka disebabkan perbuatan mereka.
Semoga Bermanfaat & Selamat Beramal,,,(^_^)

{ Dipetik daripada buku Imam Syafie - Pejuang Kebenaran karangan Abdul Latip Talib }




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...