Rabu, 26 Disember 2012
5 TANDA KESENGSARAAN
Syeikh Fudhail bin Iyadh r.h. berkata :
“Terdapat 5 tanda kesengsaraan :
1. Hati yang keras
2. Mata yang tidak mahu menangis
3. Hilang perasaan malu
4. Terlalu cintakan dunia
5. Panjang angan-angan
Huraian
1. Hati yang keras adalah hati yang tidak mahu tunduk dan patuh kepada perintah Allah dan hati yg sering melakukan maksiat dalam masa yang sama tidak mahu mengaku akan kemaksiatannya, dan hati yang banyak dosa tapi enggan bertaubat dan meninggalkan dosanya dan enggan memperbaiki dirinya. Banyaknya penyakit hati juga menyebabkn hati menjadi keras seperti, hasad dengki, riak, sombong, angkuh dan sebagainya.
Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 54 " dan mereka tidak mengerjakan solat, melainkan dengan malas dan tidak pula menafkahkan harta mereka melainkan enggan".
Perbanyakkan zikir, mengingati Allah dan beristighfar dapat melembutkan hati disamping membaca al-Quran dan mengingati mati dan azab seksa Allah Taala.
Sabda Nabi SAW : "sesungguhnya hati akan berkarat seumpama karatnya besi ( apabila terkena air ). Lalu sahabat bertanya bagaimana cara menghapuskan karat itu,? Nabi SAW bersabda : perbanyakkan membaca al-Quran dan mengingati mati".
Masinnya air laut tak mampu menyerap ke dalam isi ikan,tetapi apabila ikan sudah mati, secubit garam pun sudah cukup untuk memasinkannya. Begitulah juga HATI kita, hati yang hidup, sukar untuk dinodai, tetapi bila hati sudah mati, ianya mudah dipengaruhi. Semoga Allah sentiasa memelihara hati kita.
2. Mata yang tidak mahu menangis adalah mata yang tidak pernah mengenang akan dosa dan hatinya telah dihitamkan oleh hawa nafsu dan dosa sehingga air mata menjadi kering. Mata yang tidak mahu menangis ketika keseorangn adalah kerana kerasnya hati. Beruntunglah mereka yang menangis kerana takutkan Allah disamping terkenang dosa yang lalu dan amat rugilah bagi mereka yang menangis kerana menonton filem-filem sedih, kerana kehilangan barang kesayangan, dan kerana dunia semata-mata sementara air matanya tidak mengalir kerana teringat akan azab kubur dan seksa neraka Allah Taala.
Sabda Nabi SAW : " dua mata yang tidak akan disentuh (dibakar) oleh api neraka, iaitu mata yang menangis (pada waktu malam) kerana takutkan Allah, dan mata yg menangis (pada waktu malam) kerana berjuang fi sabilillah ".
3. Hilang perasaan malu. Sabda Nabi SAW : " Iman mempunyai lebih daripada 60 cabang, adapun malu adalah salah satu cabang dari iman."
Hilangnya perasaan malu dalam diri seseorang menyebabkan seseorang itu tanpa segan silu melakukan maksiat, tidak rasa malu apabila meninggalkan kewajipan rukun Islam, mendedahkn aurat ditempat awam, berzina dan sebagainya. Malu yang sebenarnya adalah seperti takut untuk melakukan sesuatu keburukan dan malu untuk melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah Taala. Apabila ada malu yang sebegini dalam diri manusia maka ia akan terhindar daripada melakukan keburukan dan sentiasa tunduk, taat dan patuh pada perintah Allah Taala.
4. Cintakan dunia adalah sesuatu perkara yang membahayakan. Firman Allah dalam surah al-Hadid ayat 20 " ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan sesuatu yang melalaikan. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu ".
Manusia yang terlalu cintakan dunia ,fikirannya akan dipenuhi urusan dunia sehingga lupa akan akhiratnya seperti bekerja sehingga lupa solatnya dan sebagainya. Kerana cintakan dunia mereka ini juga akan merasa takut dengan kematian yang akan menjelma kerana dipenuhi dengan kesenangan-kesenangan kehidupan dunia padahal kehidupan akhirat adalah lebih baik dan kekal daripada kehidupan dunia.
5. Panjang angan-angan adalah didorong oleh hawa nafsu yang membuak-buak kerana cintakan dunia berlebih-lebihan sehingga hilang rasa takut akan dosa dan amalan yang sedikit. Syaitanlah yang mendorong seseorang itu panjang angan-angan dan memberi rasa seronok akan kehidupan dunia dan melupakan akan kehidupan akhirat dan saat kematiannya.
Seseorang yang panjang angan-angan pada dunia, akan lupa tentang kematiannya. Firman Allah dalam surah Hud ayat 15-16 " Barangsiapa menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya kami berikan kepada mereka pekerjaan didunia dengan sempurna dan mereka didunia ini tidak akan dirugikan. Itulah orang-orang yang tidak memperoleh akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yg mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan ".
Sabda Nabi SAW " Sesungguhnya dunia itu dilaknat, berikut segenap isinya juga dilaknat, kecuali jika disertai untuk tujuan kepada Allah Taala ". Segala sesuatu yg ada dlm kehidupan dunia seperti pangkat, harta, wang ringgit tidak akan bernilai disisi Allah jika tidak digunakan pada jalan Allah (Islam).
Mari kita sama-sama menjauhkan diri kita dari 5 perkara yang mengsensarakan dengan digantikan dengan perkara yang mendatangkan kebaikan dan kebahagiaan iaitu hati yang bersih, mata yang mudah menangis kerana terkenang dosa-dosa lalu, rasa malu untuk melakukan maksiat dan kemungkaran, tidak cintakan dunia dan diganti dengan cintakan akhirat dan tidak panjang angan-angan kerana ( merasakan hidup didunia adalah sementara dan akhiratlah kehidupan yang kekal abadi ).
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan