Kalimah 'Taqwa' asal maknanya adalah mengambil tindakan
penjagaan dan memelihara dari sesuatu yang mengganggu dan memudaratkan.
Menurut Syara', 'Taqwa' bererti :
"Menjaga dan memelihara diri dari siksa dan murka Allah Ta'ala dengan
jalan melaksanakan perintah-perintahNya, taat kepadaNya dan menjauhi
larangan-laranganNya serta menjauhi perbuatan maksiat".[2]
Rasulullah s.a.w. pernah menjelaskan hakikat taqwa dengan
sabda baginda yang bermaksud :
"Mentaati Allah dan tidak mengingkari perintah-Nya,
sentiasa mengingati Allah dan tidak melupainya, bersyukur kepada-Nya dan tidak
mengkufuri nikmat-Nya". ( Riwayat Imam Bukhari dari Abdullah bin Abbas
rha. )
Saidina Umar r.a. pernah bertanya kepada seorang sahabat
yang lain bernama Ubai bin Ka'ab r.a. makna taqwa. Lalu Ubai bertanya kepada
Umar : "Adakah engkau pernah melalui satu jalan yang berduri? Jawab Umar:
"Ya". Tanya Ubai lagi: "Apakah yang kamu lakukan untuk melalui
jalan tersebut?".
Jawab Umar : "Aku melangkah dengan waspada dan
berhati-hati". Balas Ubai : "Itulah yang dikatakan taqwa".
Menurut Ibnu Abbas r.a. : "Al-Muttaqin (yakni
orang-orang bertaqwa) ialah orang-orang beriman yang memelihara diri mereka
dari mensyirikkan Allah dan beramal menta'atiNya".
Menurut Hasan al-Basri : "Orang-orang bertaqwa ialah
orang-orang yang memelihara diri dari melakukan perkara yang diharamkan Allah
dan mengerjakan apa yang difardhukan Allah ke atas mereka".
Berkata Abu Yazid al-Bustami : "Orang bertaqwa ialah
seorang yang apabila bercakap, ia bercakap kerana Allah dan apabila ia beramal,
ia beramal kerana Allah".
Martabat Taqwa
Menurut Al-'Allamah Mustafa al-Khairi al-Manshuri, taqwa ini
mempunyai tiga martabat;
Martabat pertama : Membebaskan diri dari kekufuran
Inilah yang diisyaratkan oleh Allah dengan "Kalimat
at-Taqwa" dalam firmanNya :
"...lalu Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya,
dan kepada orang-orang mu'min dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimat taqwa
...". (Surah Al-Fath. Ayat : 26)
Maksud kalimah at-Taqwa dalam ayat di atas ialah kalimah :
"لا إله إلا الله محمد رسول الله" atau dua
kalimah syahadah. Kalimah ini merupakan kalimah iman yang menjadi asas atau
punca kepada taqwa.
Martabat kedua : Menjauhkan diri dari segala perkara yang
membawa kepada dosa.
Martabat ketiga : Membersihkan batin (hati) dari segala
yang menyibukkan atau melalaikan diri dari Allah swt.
Martabat yang ketiga inilah yang dimaksudkan oleh firman
Allah;
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah
sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati melainkan kamu menyerah
diri ( kepada Allah swt )." (Surah Ali Imran. Ayat : 102)
Muslim yang Berjuang dan Bertaqwa
Merentasi era peradaban modern yang menyaksikan keruntuhan
akhlak , moral dan aqidah ummah kini di paras bahaya , memerlukan kuasa taqwa
yang tinggi untuk kembali membina struktur asas ummat Islam yang kian runtuh .
Taqwa adalah formula tepat untuk memproses penawar bagi
memulihkan kecederaan iman yang sangat parah dewasa kini, khasnya dikalangan
mereka yang mengaku muslim .
Kecederaan teruk di bahagian iman inilah yang meletakkan
ummat Islam turut terjebak dalam kancah perlecehan akhlak, moral dan aqidah.
Saksikanlah, bagaimana dunia kini amnya dan negara kita
khasnya dilanda kehancuran peradaban Insaniyyah, sehingga hilang peri
kemanusiaan sebaliknya peri kebinatangan menguasai minda sebahagian besar ummat
manusia.
Menyedari realiti dunia dan ummah hari ini, marilah kita
mengambil kesempatan daripada ibadah puasa yang dijalani sebulan di bulan
Ramadhan untuk membina syakhsiyyah muslim yang berjuang dan bertaqwa dengan
mendidik jiwa, minda dan seluruh pancaindera agar tunduk dan patuh kepada Allah
swt. serta siap untuk menjunjung tinggi segala tanggungjawab mempertahan dan
memperjuangkan Islam di persada alam ini .
Kitalah selayaknya memikul tanggungjawab sebagai pejuang
untuk menyelamatkan diri , dunia dan ummah dari bahana syahwah yang menyimpang
jauh dari Manhaj Ilahi .
Pejuang yang dilengkapi sifat taqwa yang mantap sebagai alat
keselamatan dan asas kekuatan diri demi memenangi pertembungan antara iman dan
kufur , hak dan bhatil serta islam dan jahiliyyah.
Oleh : USTAZ NASRUDDIN TANTAWI
petikan artikel iluvislam.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan